Aidil Fitri pada tahun ini memberi pengalaman baru kepada diri ku. Rinduku teramat kepada kampung halaman di Damansara Jaya, beraya di samping mak, ayah, abang, abangah dan kakak. Tetapi kerinduan itu berjaya diredakan, terima kasih kepada gelak tawa di samping sahabat taulan yang bagaikan keluarga baru ku sejak 3 tahun yang lepas. Walaupun tadi ketika solat Aidil Fitri, Tok Imam dari Fiji banyak memberi peringatan dan kata-kata nasihat lantas membuat hatiku sedikit gundah gulana, semuanya bertukar menjadi ceria sebaik sahaja bertemu kawan-kawan. Kami bergurau senda, bercerita tentang memori raya di Malaysia sambil menjamu selera dengan hidangan istimewa Hari Raya. Ketupat nasi, rendang, briyani, kuih senperit, semuanya mengimbas semula ingatan ku kepada ibunda yang tiap-tiap tahun tidak pernah gagal untuk menyediakan makanan di pagi Syawal.
Raya tahun ini di tengah-tengah minggu; kuliah tetap berjalan seperti biasa. Lucunya gelagat menyambut 1 Syawal semalam. Tuan rumah Ali, Shazwan dan Aio mengkhabarkan betapa mereka malas untuk ke kelas. Tetapi mereka memujuk hati untuk ke kuliah jua kerana risaukan assignment yang pastinya lebih sukar jika tidak mendengar tips dari lecturer. Tiba pukul 3.30pm, tetamu pun disuruh pulang untuk memberi laluan kepada tuan rumah berangkat ke kuliah. Kami pun sama-sama berjalan ke kampus. Sambil berjalan sempat lagi membuat perancangan untuk beraya di mana selepas kuliah.
Tepat pukul 4.30 kuliah berakhir, maka bersambung lah ekspidisi raya ku tahun ini. Shaz memandu kami 5 orang ke Johnsonville untuk beraya dengan Puan Siti iaitu Education Advisor pelajar JPA. Meriahnya rumah Puan Siti! Tetamu datang dan pergi tidak putus-putus. Selepas bersalaman dan pohon maaf dipinta, kami terus berlumba ke arah roti jala yang menuggu di atas meja hidangan. Rendang, ketupat, lodeh, lontong, semuanya sedap belaka. Shukran jazilan.
Kami duduk di ruang tamu di mana televisyen sedang memainkan sebuah filem Melayu. Khusyuk di hadapan televisyen ialah Abang Rudy dan Kak Chah. Kami yang baru sahaja duduk, agak teruja melihat pelakon Melayu di kaca televisyen lantas bertanya “Eh, di New Zealand pun ada cerita Melayu!”. Abang Rudy membuka mulut, tetapi matanya tetap lekat di kaca TV. Katanya “Ni DVD Indonesia, Ayat-ayat Cinta. Sedap betul cerita ni. Kesian mamat ni, ramai sangat peminat dia sampai kena fitnah”. Kami pun ikut melayan menonton sambil memuji-muji sound effect filem tersebut, sekali sekala sayup kedengaran zikir kepada Allah S.W.T., sekali gus membuat hati ini terkesan. Suasana beraya di rumah Tok dan Tok Wan di Kedah masih segar dalam ingatan. Ketika itu filem-filem Melayu seperti Sembilu, Gerak Khas dan banyak lagi, akan bermain di TV1, TV2, TV3 dan saluran-saluran Astro. Begitu banyak flashback yang bermain dalam fikiranku hari ni, ternyata aku amat rindu sekali!
Kalau di Malaysia, kami sekeluarga akan berkunjung ke rumah saudara mara. Sekurang-kurangnya 5 buah rumah akan dikunjungi. Walaupun semalam kami beraya di 3 rumah sahaja, tetapi setiap kunjungan amat bermakna buat ku. Seharian bertemu sahabat taulan ku, semua begitu riang dan ceria bercerita perihal sambutan raya masing-masing. Ini lah keistimewaan beraya di perantauan, masing-masing akan cuba sedaya upaya menggembirakan hati rakan. Rezeki ku bertemu masyarakat Islam yang penyayang di bumi Wellington ini. InsyaAllah kenangan ini akan ku ceritakan kepada anak cucu di hari tua nanti.
Sufya u write so well im intrigued to continue reading!
Sampai hati tak pernah nak bgtau. all this while we've been talking bout blogs etc and nothing bout this page came up!
hehe all the best for the exams!
omg haz!im truly sorry..never was my intention to hide this from u..cece..but haz,bilik u sebelah i je..dun worry u dun miss a thing..jap g i visit u mintak maaf..(thnk god its still syawal).luv u haz